Friday, April 9, 2010

NOVEL MENITI KACA

SINOPSIS BAB DEMI BAB

BAB 1

Pada suatu hari, Nazar pulang ke rumah dari sekolah. Dia mendapati bahawa ibunya tiada di rumah. Nazar kemudian pergi ke rumah mak ciknya untuk melihat adakah ibunya berada di situ. Dia bertanyakan Fauzi, adik sepupunya mengenai ibunya tetapi dia pun tidak tahu. Nazar berasa sangat risau kerana ibunya, Mahyun telah mengalami sakit mental.

Ibunya suka merayau-rayau di kampung. Dia akan berleter di tangga rumah yang disinggahinya. Masyarakat kampung itu telah faham benar dengan perangai Mahyun. Ibu saudaranya Mak Miah muncul di hadapannya dengan tiba-tiba lalu Nazar bertanyakan tentang ibunya. Tetapi, Mak Miah pun tidak tahu. Nazar bersama jirannya Ah Seong dan ibunya Kim Moi pergi mencari Mahyun. Akhirnya mereka menjumpai Mahyun duduk tersadai di pulau dan memujuk Mahyun supaya pulang ke rumah.

BAB 2

Nazar sedang menyiapkan kerja sekolahnya semasa Pak Sahar, ayah Nazar, memasuki bilik Nazar. Bapa Nazar memberitahu Nazar bahawa dia akan menghantar ibunya ke Hospital Bahagia kerana dia mahukan isterinya mendapat rawatan doktor pakar. Walaupun Nazar tidak ingin berpisah dengan ibunya, tetapi dia terpaksa menerima kenyataan. Lagipun Mak Miah dan Pak Sehak telah bersetuju dengan cadangan itu.

BAB 3

Pagi-pagi lagi Mak Miah telah mendandan Mahyun dengan pakaian yang cantik sebelum dihantar ke Hospital Bahagia. Nazar terkenangkan kisah masa silam, iaitu sebelum ibunya menjadi nanar. Ibunya merupakan seorang perempuan yang cantik dan memiliki suara yang merdu dan lunak. Moyangnya pernah bekerja sebagai pengasuh di istana. Justeru itu, ada juga orang mengatakan Mahyun berpenyakit saka.

BAB 4

Sudah seminggu Mahyun dihantar ke hospital. Rumah Nazar semakin sunyi. Nazar bertanyakan ayahnya mengenai keadaan ibunya. Nazar mencadangkan bapanya supaya mereka dapat melawat ibunya. Pak Sahar menolak dengan alasan dia terlalu sibuk sebagai Pegawai Luar. Dia selalu keluar pejabat untuk mengukur tanah dan meletak batu sempadan. Selepas siap minum pagi, Pak Sahar menaiki bas ke Lumut.

BAB 5

Nazar teringat nasihat Ah Seong supaya dia bersabar dan tabah menghadapi ujian. Suatu malam Pak Sehak sekeluarga datang ke rumah Nazar. Pak Sehak dan Mak Miah mencadangkan agar Pak Sahar berkahwin lagi. Nazar yang berada di dalam bilik ketika itu terkejut mendengar perbualan mereka. Pak Sahar menolak kerana dia tidak sanggup melihat Nazar mempunyai emak tiri. Pak Sahar mendiamkan diri sambil memikirkan cadangan adiknya.

BAB 6
Suatu malam, Mak Miah menunggu anaknya, Zainab pulang dari rumah Pak Sahar. Mak Miah menasihatkan Zainab agar jangan belajar atau minta ajar daripada Nazar lebih-lebih lagi dalam keadaan berdua-duaan. Mak Miah khuatir sesuatu kejadian buruk akan berlaku, malah masyarakat kampung akan memandang serong perbuatan mereka. Zainab cuba mempertahankan pendiriannya bahawa dia hanya belajar Bahasa Inggeris dan Matematik daripada Nazar. Mak Miah tidak mengendahkan alasan anaknya. Lagipun sejak ibu Nazar ke hospital, ayahnya sentiasa keluar ke Beruas pada waktu malam. Zainab tidak dapat tidur nyenyak kerana bersimpati dengan Nazar yang selalu bersendirian.

BAB 7

Pada pagi minggu ini, Nazar duduk di rumah menonton televisyen sambil mengenangkan ibunya. Manakala Pak Sahar pula memikirkan cadangan adiknya supaya berkahwin lagi. Pak Sahar menasihati Nazar supaya tidak rapat dengan Zainab kerana takut diburuk-burukkan oleh orang kampung. Nazar mencadangkan bapanya supaya membawa ibunya pulang ke rumah.

BAB 8

Pada pertengahan bulan Oktober, Mahyun telah kembali ke rumah. Hari pertama Mahyun berada di rumah ramai jiran datang untuk bertanya khabar. Sebaik sahaja Nazar sampai di rumah, Nazar terus memeluk ibunya. Walaupun telah tiga bulan di Hospital Bahagia, penyakit ibunya tetap tidak berubah.

Setelah tiga hari Mahyun berada di kampung, perangai lamanya berulang kembali. Dia memulakan langkah keluar dari rumah untuk mengunjungi jiran dan sahabatnya. Hujan semakin lebat, Nazar cuba menghalang ibunya daripada keluar rumah tetapi nasihat tersebut tidak dipedulikan langsung. Pak Sahar membiarkan sahaja Mahyun pergi ke rumah Mak Miah. Pak Sahar menyuruh Nazar membaca buku kerana esok peperiksaan akhir semester.

BAB 9

Hari sudah hampir petang namun Mahyun belum pulang ke rumah. Biasanya pada waktu begini Mahyun sudah balik. Pak Sahar juga turut gelisah. Nazar pergi ke rumah ibu saudaranya dan rumah Kim Moi tetapi ibunya tiada di rumah mereka. Ah Seong bergegas memberitahu Sidang Seman tentang kehilangan ibu Nazar. Sidang Seman menjemput orang ramai berkumpul di halaman rumah Pak Sahar.

Usaha mencari Mahyun dimulakan. Orang ramai dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Mereka membawa andang dan lampu suluh untuk tujuan keselamatan. Ada kumpulan yang mencari ke sawah, ke hulu kampung, hutan getah dan ke Padang Kerbau yang diketuai oleh Sidang Seman sendiri.

Ketika Pak Sahar dan keluarga Zainab selesai sembahyang berjemaah terdengar nama Pak Sahar dipanggil. Di halaman, beberapa orang anak muda berdiri tegak sambil sambil memangku sekujur tubuh. Mayat Mahyun dijumpai tersepit di celah batang kelapa di tepi sungai. Nazar menjerit sambil meluru ke arah ibunya yang telah kaku.

BAB 10

Segala kerja untuk menyempurnakan jenazah Mahyun sedang giat dijalankan pada hari Isnin. Di tanah perkuburan, kesukaran terpaksa dihadapi kerana air masuk ke liang lahat jenazah Mahyun memandangkan hujan belum berhenti. Pengebumian akan dibuat selepas Zohor. Jiran tetangga yang datang berasa kasihan melihat keadaan Nazar. Nazar mengambil sehelai daun getah dan melepaskannya ke dalam liang lahat ibunya. Nazar tidak ke sekolah hari itu kerana mahu melihat wajah ibunya buat kali terakhir.

BAB 11

Nazar dan Ah Seong sudah sebulan berada di Tingkatan Tiga. Zainab pula di Tingkatan 2. Zainab sudah pandai memasak dan mengemas. Kini, segala urusan makan minum Nazar dan ayahnya diurus oleh Mak Miah. Pada suatu petang, Pak Sahar memanggil Nazar lalu memberitahunya mengenai rancangannya untuk berkahwin lagi. Pak Sahar ingin meminta pendapat anaknya itu tetapi Nazar agak keberatan memberi izin ayahnya berkahwin kerana ibunya baru sahaja dua bulan meninggal dunia. Selepas itu, Nazar meminta izin ayahnya untuk bertemu kawanya di kampung hilir.

Nazar sebenarnya pergi bertemu Ah Seong dan menceritakan Ah Seong mengenai cadangan bapanya hendak berkahwin. Ah Seong cuba meyakinkan Nazar bahawa ayahnya perlu teman bagi mengubati penderitaan yang sekian lama ditanggung. Ah Seong juga berpendapat bukan semua ibu tiri bersikap garang.

BAB 12

Keadaan kesihatan Pak Sahar semakin teruk dan penyakit batuknya pula semakin serius. Sikapnya sudah mula berubah kerana dia selalu ke masjid pada waktu maghrib dan isyak. Doktor mengesahkan Pak Sahar menghidap penyakit jantung. Selepas pulang bekerja, dia kini banyak menghabiskan masa di rumah.

Lima bulan lagi Nazar akan menduduki Peperiksaan PMR. Nazar banyak menghabiskan masa dengan mengulang kaji pelajaran bersama Ah Seong dan Zainab peperiksaan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Hal ini menyebabkan orang kampung sering mengata Nazar dan Zainab.

Pada malam itu juga imam kampung datang dan bertanyakan hal ini kepada Pak Sahar. Mak Miah pula dikunjungi Sidang Seman dan Nuar. Mereka menasihatkan Mak Miah mengenai pelakuan anak mereka. Orang kampung nampak Nazar dan Zainab berdua-duaan di tepi sungai. Mak Miah berjanji akan menyampaikan pesanan itu kepada suaminya.

Mak Miah melarang Zainab ke rumah pak longnya lagi. Zainab hairan dengan sikap ibunya itu.

BAB 13

Bulan Oktober, Nazar akan menduduki peperiksaan PMR. Zainab mengunjungi Nazar dan Ah Seong yang sedang berbincang di halaman rumah Nazar. Zainab memberitahu Nazar bahawa sejak peristiwa di tepi sungai itu, dia tidak dibenarkan lagi belajar dengan Nazar. Sedang mereka bertiga berbual, Fauzi datang dan meminta kakaknya pulang. Mak Miah menyuruh Zainab balik kerana ada banyak kerja yang perlu dilakukan di rumah. Ah Seong dan Nazar sedih dengan fitnah orang kampung terhadap Nazar dan Zainab. Malam itu, batuk Pak Sahar semakin menjadi-jadi. Pak Sahar berharap Nazar akan beroleh kejayaan dalam peperiksaan nanti.

BAB 14

Selepas menghadapi peperiksaan PMR, semua pelajar bercuti sekolah. Penyakit Pak Sahar tidak juga sembuh-sembuh. Nazar menjaga bapanya yang sakit dalam cuti sekolah. Keputusan peperiksaan akan diumumkan bila-bila masa dan semua pelajar tertunggu-tunggu.

Nazar sedih dengan kesihatan bapanya tetapi Pak Sahar menasihatkan Nazar supaya jangan bimbang akan kesihatannya. Nazar memberi jaminan akan belajar bersungguh-sungguh.
Nazar mendapat lima A dalam peperiksaan PMR. Nazar ditawarkan ke sekolah asrama penuh, iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh. Dia terpaksa meninggalkan ayahnya dan lebih sedih meninggalkan Zainab.

Sebelum berangkat Zainab menghadiahkan kotak muzik kepada Nazar. Keluarga Pak Sehak dan ayahnya menghantar Nazar ke sekolah baru.

BAB 15

Di sekolah baru, Nazar mendapat ramai kawan yang datang dari seluruh negara. Namun Nazar masih teringatkan Zainab, ayahnya dan kampungnya walaupun sudah sebulan belajar di situ.
Jika kesunyian, dia membawa kotak muzik ke tempat yang jauh daripada rakan-rakannya. Nazar terhibur dengan muzik itu.

Pada suatu petang Nazar dikunjungi oleh pengawas asrama, Amir. Dia banyak memberi nasihat kepada Nazar mengenai kehidupan di asrama. Malam itu Nazar tidak dapat tidur. Tiba-tiba suara warden memanggil namanya. Rupa-ruoanya pak ngahnya sedang menunggu di bilik tetamu. Pak Sehak memberitahu Nazar ayahnya sedang sakit dan kini berada di hospital.

BAB 16

Rumah Nazar sangat sunyi kerana ibu bapanya telah meninggal dunia dan kini dia tinggal seorang diri. Nazar termenung di tangga rumahnya. Tiba-tiba Zainab datang untuk menjemputnya ke rumah. Nazar agak terkejut. Dalam hati, Nazar bertekad untuk menjadi seorang doktor dan mengubati orang senasib dengan ibu dan bapanya.

TEMA

Tema dalam novel Meniti Kaca ialah ketabahan dan kesabaran dalam menempuh pelbagai halangan hidup.

Dalam novel ini, Nazar tabah menempuh ujian iaitu terpaksa berdepan dengan ibunya yang nanar. Dia terpaksa berpisah dengan ibunya yang dihantar ke Hospital Bahagia untuk tujuan rawatan.

Selepas ibunya pulang dan masih tidak sembuh dari penyakitnya, Nazar masih menghadapi ujian kerana ibunya masih merayau-rayau di sekitar kampung. Akhirnya, ibunya hilang dan ditemui telah meninggal dunia.

PERSOALAN

Persoalan ialah permasalahan sampingan yang disampaikan oleh pengarang. Pengarang yang baik akan mengemukakan persoalan dalam dua cara iaitu secara tersurat dan tersirat. Intipati sesuatu persoalan lazimnya berkisar kepada tema dalam sesuatu novel serta tidak lari daripada keadaan budaya dan sosial masyarakat.

Melalui Meniti Kaca pengarang cuba mengajak pembaca mengungkap pelbagai persoalan yang boleh dibincangkan. Antara persoalan yang disentuh adalah mengenai kemiskinan sejagat, rasuah dan gejala social remaja seperti penagihan dadah dan sebagainya. Antara persoalan itu ialah seperti berikut :
PERSOALAN MENGENAI KEHARMONIAN HIDUP MASYARAKAT BERBILANG KAUM

Masyarakat berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan tolong-menolong antara satu sama lain.
  • Keluarga Ah Seong menunjukkan layanan dan sikap positif terhadap keluarga Pak Sahar yang banyak menghadapi masalah.
PERSOALAN MENGENAI SIKAP MASYARAKAT YANG SUKA MENUDUH TANPA USUL PERIKSA

Masyarakat yang hidup berjiran selalunya mengambil berat terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain.
  • Nazar dan Zainab difitnah masyarakat kampung sedangkan hubungan mereka tidak melanggar keagamaan.
PERSOALAN MENGENAI KASIH SAYANG

Kasih sayang diperlihatkan dalam keluarga dan sesama rakan.
  • Nazar amat sayang akan ibunya kerana tidak sanggup berpisah dengan ibunya.
  • Nazar sayang akan sepupunya, Zainab dan sentiasa mengambil berat terhadap sepupunya itu.
WATAK DAN PERWATAKAN

PENGENALAN


Watak bermaksud pelaku atau orang yang memainkan peranan dalam sesebuah karya novel, cerpen, drama atau wayang kulit dan sebagainya. Dengan kata lain watak ialah tokoh-tokoh dalam cerita. Dalam sesuatu cerita manusialah yang menjadi pusat perhatian pengarang sesuai dengan pengertian cereka yang mencerminkan pengalaman peranan yang amat penting dalam sesebuah cereka kerana tanpa watak, maka mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang gagal.

JENIS-JENIS WATAK

Dalam sesebuah cereka, watak dibahagikan kepada dua, iaitu watak utama dan watak sampingan. Watak utama mendapat perhatian yang menyeluruh daripada pengarang dan watak ini memainkan peranannya dari mula cerita sehingga kesudahan cerita. Watak inilah yang menghidupkan cerita atau menggerakkan plot cerita. Malah, pengarang memberi penghuraian yang terperinci tentang gerak laku dan sifat-sifat watak ini. Dalam menyampaikan mesej, watak utama mempunyai tugas yang tersendiri yang harus dipikulnya untuk menyampaikan tema, persoalan, amanat, pengajaran dan unsur moral kepada pembaca.

Manakala, watak sampingan hanya berperanan membantu watak utama dalam pengembangan plot cereka. Watak-watak ini tidak muncul dalam keseluruhan cerita, tetapi ditimbulkan sekali-sekala sahaja oleh pengarang. Dalam hubungan ini, cara pengarang mengemukakan watak-watak adalah secara langsung dan secara tidak langsung.
Perwatakan pula ialah sifat-sifat watak yang terdapat dalam cereka itu. Terdapat beberapa cara pengarang memperkenalkan perwatakan watak-watak dalam cerekanya. Antaranya ialah melalui reaksi watak-watak itu sendiri, hal-hal luaran watak seperti gambaran jasmani watak dan persekitarannnya, dialog watak, aksi watak, huraian watak dn pemikiran watak monolog dalaman , aliran bawah sedar dan sebagainya.

KAJIAN WATAK-WATAK

WATAK UTAMA

NAZAR
  • Merupakan anak tunggal Pak Sahar.
  • Ingin menjadi seorang doktor.
  • Seorang yang bijak.
WATAK SAMPINGAN

PAK SAHAR

  • Ayah kepada Nazar
  • Berusia dalam lingkungan empat puluhan.
  • Bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Lumut.
MAHYUN
  • Ibu kepada Nazar.
  • Dikatakan sakit nanar sejak melahirkan anak keduanya.
  • Seorang yang cantik dan berkulit langsat, rambutnya mencecah bahu serta berlesung pipit.
  • Mempunyai suara yang lunak dan merdu.
ZAINAB
  • Merupakan anak kepada Mak Miah dan Pak Sehak.
  • Seorang yang cantik, ada lesung pipit dan sentiasa menarik perhatian di kalangan rakan sekelas dan juga Nazar.
AH SEONG
  • Merupakan anak kepada Kim Moi dan Ah Leong.
  • Jiran dan sahabat baik Nazar.
PLOT

PENGENALAN


Plot juga dikenali sebagai jalan cerita. Plot dalam sesebuah novel atau cerpen ialah rentetan peristiwa dalam sesebuah cerita. Biasanya peristiwa yang dipaparkan mempunyai hubungan yang rapat. Hubungan itu berlaku secara fizikal dan batiniah dalam sesuatu watak. Dalam hubungan ini setiap peristiwa dan gerak laku yang terjadi didasarkan sebab dan akibat.

Susunan plot atau jalan cerita lazimnya dipersembahkan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama ialah pengenalan atau eksposisi, kedua; pertengahan dan ketiga; peleraian. Pada bahagian permulaan, pengarang akan memperkenalkan watak, masa dan tempat. Manakala pada bahagian pertengahan, digambarkan watak-watak akan menghadapi pelbagai konflik. Lazimnya konflik semakin rumit dan akan menuju ke peringkat klimaks atau kemuncak cerita. Pada bahagian peleraian, kemuncak cerita semakin menurun dan segala masalah telah selesai.

Bagi memastikan sesebuah novel itu menarik, pengarang akan memasukkan unsur ketegangan, misalnya pertengkaran, pergaduhan, percintaan, kemalangan, kematian dan sebagainya yang disampaikan dalam pelbagai cara dan kaedah. Hal ini penting bagi menjadikan novel menarik minat pembaca. Teknik penceritaan juga biasanya diolah dalam pelbagai cara, misalnya secara terus atau berurutan mengikut urutan waktu, konflik, saspens, kemuncak atau klimaks dan peleraian.

Kesemua unsur di atas mampu menjadikan plot cerita menarik dan memberi kesan mandalam kepada pembaca. Berbanding jalan cerita yang mudah dan tiada unsur saspens tentu akan menjemukan pembaca dan hambar. Berikut adalah teknik pengolahan atau penceritaan sesebuah novel.

PERMULAAN CERITA

Pengarang memperkenalkan watak-watak seperti Nazar, Mahyun dan Zainab.
  • Nazar pulang dari sekolah dan mencari ibunya Mahyun yang tidak ada di rumah ketika itu.
  • Mahyun menghidap penyakit nanar dan sering merayau ke rumah orang lain.
PERKEMBANGAN CERITA
  • Pak Sahar mengambil tindakan menghantar Mahyun ke Tanjung Rambutan bagi mengubati penyakit nanar yang sedang dihidapi oleh Mahyun.
  • Selepas beberapa bulan, Pak Sahar mengambil pulang Mahyun tetapi penyakitnya tidak sembuh.
  • Suatu hari, Mahyun hilang dan ditemui telah mati.
PERUMITAN CERITA
  • Nazar menghadapi pelbagai masalah seperti ketiadaan ibu dan ayahnya yang sering sakit.
  • Sementara itu, Zainab dilarang oleh ibu bapanya untuk belajar bersama-sama Nazar kerana penduduk kampung memburuk-burukkan mereka.
PUNCAK CERITA
  • Nazar dijemput oleh Pak Sehak dan beberapa orang lagi untuk melihat ayahnya yang dimasukkan ke hospital.
  • Sebelum Nazar sampai ke hospital, Pak Sahar meninggal dunia.
PELERAIAN
  • Nazar terus belajar di sekolah asrama penuh di Ipoh.
  • Dia hendak mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor untuk menyelamatkan orang yang senasib dengan ibu bapanya.
LATAR

LATAR TEMPAT
  • Halaman rumah Pak Sahar
  • Rumah Mak Miah
  • Kawasan belukar di tepi sungai
  • Bilik asrama, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh
GAYA BAHASA

SIMILE

  • Lama kelamaan wajah-wajah hilang bagai ketulan air batu yang mencair.
PENGULANGAN

Salah satu pengulangan anafora yang terdapat dalam novel ialah
  • Adakah ayah akan berkahwin lagi?
  • Adakah ayah sudah tidak sayang ibu lagi?
PERSONIFIKASI
  • Perasaan cemas mula bergayut di wajah Kim Moi.
  • Angin bulan Oktober yang lembab itu terasa menampar-nampar muka Ah Seong.
NILAI-NILAI MURNI

NILAI KEGIGIHAN
  • Mendedahkan kegigihan dalam menghadapi sesuatu situasi.
NILAI KERJASAMA
  • Wujudnya kerjasama di kalangan masyarakat kampung.
NILAI KEYAKINAN
  • Adanya keyakinan dalam usaha yang dilakukan oleh watak.
  • Nazar yakin akan mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan PMR.
NILAI KASIH SAYANG
  • Kasih sayang yang ditunjukkan sesama manusia seperti Nazar dan ibunya.
PENGAJARAN
  • Kita mestilah tabah dan sentiasa sabar menghadapi sesuatu dugaan seperti Nazar dengan kematian ibunya.
  • Kita mestilah tolong-menolong antara satu sama lain kerana ia merupakan amalan masyarakat yang baik.
  • Kita mesti bersimpati kepada orang yang berada dalam kesusahan untuk meringankan beban mereka yang bernasib malang.
  • Kita janganlah suka menfitnah orang tanpa usul periksa seperti penduduk Kampung Kota menuduh Nazar dan Zainab mempunyai hubungan sulit sedangkan mereka tidak berbuat demikian.
  • Kita mestilah rajin berusaha untuk mencapai kejayaan seperti kejayaan Nazar mendapat lima A dalam Peperiksaan PMR.

No comments:

Post a Comment