Friday, April 9, 2010

KAPTEN HASSAN WIRA BANGSA

SINOPSIS

Hassan bin Haji Osman lahir pada tahun 1927 di Kampung Batu 12, Mantin, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan di sekolah Melayu dan di sekolah pengajian pondok sehingga Jepun menterang Tanah Melayu pada tahun 1945. Pada zaman perintahan Jepun, Hassan berkahwin untuk mengelak daripada di tangkap Jepun menjadi buruh paksa. Isterinya bersama-sama ibu mertuanya telah dibunuh oleh kumpulan Bintang Tiga pada zaman Jepun.

Jepun menyerah kalah apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh Tentera Berikat. Kumpulan Bintang Tiga mengganas dan membunuh mereka yang dianggap membantu Jepun. Hassan meninggalkan kampung untuk belajar ilmu mempertahankan diri di Melaka dan Batu Pahat. Kemudian, beliau menyertai Kor Rejimen Askar Melayu pada tahun 1946 di Port Dickson. Selepas itu, beliau ditempatkan di Taiping dan memburu pengganas komunis di Sungai Temenggor, di Hulu Perak.

Hassan telah dinaikkan pangkat Lans Koperal dan berpindah ke Mentakab, Pahang. Di sini, beliau belajar menggempur perkhemahan pengganas di Sungai Kawang. Pada tahun 1951, Hassan dianugerahi Bintang Perkhidmatan Cemerlang. Pada tahun 1952, beliau mendirikan rumah tangga. Kejayaan Hassan membunuh pengganas komunis semasa menjalankan tugas mendapat penghargaan daripada Ratu Elizabeth dengan pengurniaan Bintang Penghormatan Tentera dan Bintang Darjat Keberanian.

Pasukan komunis berusaha untuk menangkap Hassan denagn menghantar Ah Kiew atau Ah Moi untuk menggoda Hassan. Rancangan Ah Moi gagal, sebaliknya dia mempengaruhi rakan-rakannya menyerah diri kepada kerajaan. Semasa Kem Taiping mengadakan pementasan, Hassan telah menulis skrip drama tentang perjuangan parajurit menentang komunis. Skrip drama Hassan telah difilemkan oleh P.Ramlee berjudul “Sarjan Hassan”. Sarjan Hassan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Leftenan dan berpindah ke Mentakab, Pahang pada tahun 1957.

Semasa di Mentakab, Pahang, kumpulannya berjaya menggempur kumpulan ketua pengganas komunis yang mengadakan mesyuarat di Ladang Getah Waterfall. Pada tahun 1960, darurat ditamatkan. Banyak kawasan telah diisytiharkan Kawasan Putih. Hassan telah berpindah ke Kem Jalan Ipoh. Semasa bertugas di sini, Hassan telah melaporkan kisah pegawai kanan pasukan yang membuat maksiat. Pegawai berkenaan dikenakan tindakan disiplin. Pada tahun 1961, Hassan gagal ujian kenaikan pangkat. Akibat kegagalan itu, perkhidmatan Hassan ditamatkan dan beliau pulang ke kampung tanpa mendapat bulanan pencen.

Hassan membuat rayuan kepada Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Beliau dipanggil untuk berkhidmat dengan Askar Wataniah di Kem Rasah, Rasah, Negeri Sembilan. Pada tahun 1967, Kapten Hassan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia. Hassan menjalankan perniagaan di Hentian Puduraya dan meninggal pada tahun 1991 di Hospital Besar Seremban.

TEMA

Novel ini bertemakan keberanian dan semangat patriotisme seorang anggota tentera semasa berkhidmat dengan pasukan tentera. Hassan menyertai pasukan tentera setelah melihat kekejaman Jepun dan komunis. Dengan semangat dan penuh keberanian beliau telah menggempur tempat perkhemahan komunis. Sepanjang perkhidmatan, beliau telau membunuh 11 orang komunis. Setelah merdeka, dia telah diberhentikan kerana gagal ujian. Namun, semangat untuk menyertai pasukan tentera terus membara lalu diterima menganggotai Pasukan Askar Wataniah.

PERSOALAN

SIKAP MASYARAKAT TEMPATAN YANG TIDAK BERSATU PADU MENENTANG PENJAJAH
  • Semasa penjajahan Jepun, banyak kumpulan ditubuhkan untuk menentang Jepun. Namun, terdapat masyarakat Melayu yang enggan menyertai pertubuhan itu, sebaliknya bermuka-muka dengan Jepun.
  • Hassan terpaksa berkahwin untuk mengelak diri daripada diambil oleh Jepun bagi dihantar ke sempadan Thailand-Myanmar.
SIKAP MEMBALAS DENDAM DALAM SESUATU ORGANISASI
  • Keputusan Hassan diberhentikan dan tiada peluang untuk merayu dibuat oleh pegawai yang dendam terhadap Hassan. Hassan pernah mengadu tindakan pegawai itu melakukan maksiat kepada pegawai atasan.
PENGORBANAN ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN TIDAK MENDAPAT
PENGIKTIRAFAN DARIPADA KERAJAAN

  • Walaupun Hassan telah menjalankan tugas dengan cemerlang, tetapi beliau tidak mendapat pencen bulanan.
SIKAP PENDUDUK YANG TIDAK BERSATU DALAM KALANGAN PENDUDUK BERBILANG KAUM
  • Pada zaman penjajahan Jepun masyarakat Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu tidak bersatu padu. Hal ini memberi peluang Inggeris datang ke Tanah Melayu dan meneruskan penjajahannya.
WATAK DAN PERWATAKAN

KAPTEN HASSAN

  • Nama penuhnya Hassan bin Haji Osman.
  • Dilahirkan pada 27 Julai 1927 di Kampung Batu 12, Mantin, Negeri Sembilan.
  • Anak ketiga daripada lima orang adik-beradik.
  • Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu sehingga darjah lima dan kemudian mendalami pengetahuan agama di Sekolah Pengajian Pondok Kampung Sega, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan sehingga kedatangan Jepun.
  • Ada juga menimba ilmu kebatinan kepahlawanan daripada beberapa orang tokoh agama.
  • Jujur, tekun, berani, sabar, bersemangat tinggi dan kuat beribadah.
  • Disiplin dan taat akan perintah orang atasan menjadi pegangan dan amalannya.
  • Berbakat menulis skrip.
  • Pernah mengarah drama pentas yang mengisahkan kehidupan anggota keselamatan pada zaman darurat.
  • Dianugerahi pingat keberanian NM, pingat Perkhidmatan Cemerlang MID, pingat Kelakuan Terpuji Negeri Pahang, pingat Jasa Kebaktian, pingat Ahli Mangku Negara dan pingat Seri Mahkota Selangor.
  • Meninggal dunia di Hospital Besar Seremban kerana sakit jantung.
PENGHULU ISMAIL
  • Datuk Hassan sebelah ibunya, yang telah memelihara Hassan di Mukim Pantai.
  • Diiktiraf sebagai Pentadbiran Mukim Pantai dan sangat disenangi dan dihormati oleh orang-orang kampung.
  • Pernah ditangkap secara kasar dan ditahan oleh anggota Bintang Tiga yang cuba mengambil alih kuasa.
  • Dibebaskan tanpa syarat oleh Bintang Tiga yang ketakutan setelah berlaku beberapa kejadian aneh.
HAJAH SITI AMAI
  • Ibu mertua Hassan, yakni ibu kepada isteri pertama Hassan, Siti Zabedah.
  • Agak berada orangnya, mempunyai simpanan mata wang pound British, mengusahakan kebun, serta memelihara lembu dan kerbau.
  • Mati dibunuh dengan kejamnya oleh Bintang Tiga kerana enggan menyerahkan wang hasil jualan lembu dan kerbau, wang simpanan serta barang kemasnya kepada mereka.
AH KIEW
  • Pengganas komunis yang cantik yang dikenali sebagai Ah Moi.
  • Diarahkan supaya berpura-pura menyerah diri di Kem Tapah, tempat Hassan bertugas ketika itu.
  • Menggoda Hassan supaya Hassan terjebak dalam maksiat.
  • Termakan pujukan Hassan supaya kembali kepangkuan masyarakat dan meninggalkan perjuangan komunis yang sia-sia.
  • Berjaya memujuk 27 orang pengganas komunis yang bergerak di dalam hutan di negeri Perak supaya menyerah.
  • Berkahwin dengan pemuda pilihannya.
  • Mengundang Hassan ke majlis perkahwinannya.
TUK JANGGUT
  • Ketua Komunis di Perak yang berbangsa Melayu.
  • Dikatakan memiliki ilmu kebal dan dapat menghilangkan diri sekelip mata.
  • Amat digeruni oleh anggota tentera yang beroperasi di dalam hutan itu.
MEJAR
  • Pegawai kanan Batalion Kelima, Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, iaitu tempat Hassan bertugas ketika menyandang pangkat Leftenan.
  • Melanggar disiplin dan peraturan di kem yang melarang anggota tentera membawa wanita yang bukan mahram ke dalam kem.
  • Kejadian sumbang itu dilaporkan oleh Leftenan Hassan kepada pegawai pemerintahan batalion berkenaan sehingga mejar tersebut dikenakan tindakan tatatertib.
  • Memandang serong terhadap Hassan.
  • Ketika mejar tersebut menjadi kompeni dan Hassan menjadi ketua platun tempur dalam kompeni berkenaan, berlaku pergeseran peribadi antara mereka.
  • Dia tetap mengarahkan Hassan mengetuai pasukan untuk gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa pesawat yang terhempas di Bukit Tinggi, Pahang, meskipun mengetahui bahawa Hassan akan menduduki ujian kenaikan pangkat tidak lama lagi.
  • Bertanggungjawab menolak rayuan Hassan untuk terus berkhidmat dalam angkatan tentera apabila perkhidmatan Hassan ditamatkan tanpa mengambil kira sumbangan cemerlang Hassan kepada bangsa dan negara.
PLOT

PERMULAAN

  • Penceritaan dimulakan dengan kelahiran Hassan sehinggalah dia membesar dan belajar di Sekolah Pondok Kampung Sega, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan.
  • Walau bagaimanapun, sewaktu pendudukan Jepun pada Disember 1941, pengajian Hassan terhenti dan dia pulang ke kampung.
PERKEMBANGAN
  • Datuk Hassan, iaitu Penghulu Ismail telah mengahwinkan Hassan dengan Siti Zabedah.
  • Ketika itu Hassan baru berumur 17 tahun.
  • Isteri Hassan, ibu mertua, nenek mertuanya dan anak buah isterinya telah dibunuh oleh pihak Bintang Tiga selepas Jepun menyerah kalah.
  • Kemudian Penghulu Ismail pula ditangkap oleh pengganas komunis kerana disyaki bekerjasama dengan Jepun.
  • Selepas kejadian itu, Hassan mengambil keputusan untuk menyertai Kor Rejimen Askar Melayu.
  • Hassan kemudiannya diserapkan ke Rejimen Kedua Askar Melayu di Kem Bagan Pinang, Port Dickson.
  • Selepas itu, Hassan telah ditukarkan ke beberapa tempat sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai koperal dalam Pasukan Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu.
  • Dalam menjalankan tugasnya, Hassan telah bertempur dengan pengganas komunis di Ladang Sungai Kawang.
  • Hari tersebut juga merupakan hari pertunangannya dengan Siti Aisyah Haji Buang.
  • Pada 16 November 1953, Hassan telah bertempur dengan pengganas komunis di Pahang.
KLIMAKS
  • Hassan mengetuai satu gerakan di kawasan Waterfall Estet.
  • Beliau berjaya menumpaskan usaha pengganas komunis yang hendak bermesyuarat untuk menggagalkan sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada 30 Ogos 1957.
  • Hassan gagal dalam ujian kenaikan pangkat.
  • Pada 5 Ogos 1952, perkhidmatan Hassan ditamatkan tanpa sebarang sebab.
  • Beliau turut gagal mendapatkan pencen kerana tidak memenuhi syarat walaupun telah berkhidmat selama 16 tahun.
  • Hassan membuat rayuan kepada Menteri Pertahanan, iaitu Tun Abdul Razak.
  • Akhirnya, Hassan diterima untuk menyambung perkhidmatannya semula dalam Pasukan Askar Wataniah.
PELERAIAN
  • Kapten Hassan diarahkan bertugas di beberapa tempat semasa berlaku konfrontasi dengan Kerajaan Republik Indonesia.
  • Kapten Hassan mengambil keputusan untuk bersara pada 30 September 1967.
  • Selepas bersara, beliau menceburi bidang perniagaan dan aktif dalam politik.
  • Pada 30 April 1991, pukul 4.30 pagi, Hassan telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Seremban kerana sakit lemah jantung.
LATAR

LATAR TEMPAT


Terdapat banyak tempat yang penting dan kurang penting yang menjadi latar tempat dalam novel ini. Antara latar tempat yang penting dalam novel ini termasuklah seperti berikut :

Mukim Pantai
  • Dibesarkan oleh datuknya, Penghulu Ismail dan dikahwinkan dengan isteri pertamanya.
  • Peritiwa kejam yang menyayat hati, yakni pembunuhan isteri Hassan, ibu mertuanya, nenek mertuanya dan anak buah isterinya berlaku.
  • Datuk Hassaan ditangkap dan ditahan oleh anggota Bintang Tiga.
  • Kesan daripada peristiwa yang berlaku itu, semangat juang Hassan untuk menuntut keadilan dan menentang komunis membenih dan membara.
Kem Tapah
  • Hassan cuba digoda oleh Ah Moi, pengganas komunis wanita yang berpura-pura menyerah diri.
  • Sebaliknya, Ah Moi pula tewas oleh pujukan Hassan sehingga 27 rakan seperjuangan Ah Moi yang bergerak di dalam hutan di negeri Perak turut menyerah diri kepada pasukan keselamatan.
Ladang Getah Waterfall
  • Hassan mengetuai pasukannya yang menyiasat dan menggagalkan percubaan komunis untuk menghalang sambutan Kemerdekaan Tanah Melayu.

Kem Batalion Kelima, Askar Melayu Diraja di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
  • Berlakunya pergeseran peribadi antara Leftenan Hassan dan ketua kompeninya yang berpangkat mejar.
  • Perkhidmatan Hassan dalam angkatan tentera ditamatkan setelah dia gagal dalam ujian kenaikan pangkat.
  • Rayuan Hassan supaya perkhidmatannya disambung semula ditolak oleh mejar berkenaan tanpa mengambil kira perkhidmatan cemerlang Hassan sepanjang kerjayanya.
Hospital Besar Seremban
  • Tempat Hassan dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana serangan sakit jantung dan kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 64 tahun.
LATAR MASA

Latar masa novel ini cukup panjang, iaitu sepanjang hayat Kapten Hassan, bermula sejak beliau lahir pada bulan Julai 1927 dan berakhir apabila beliau meninggal dunia pada 30 April 1991. Latar masa ini dibahagi-bahagikan seperti yang berikut :

Julai 1927 hingga kedatangan Jepun.
  • Dalam tempoh ini dimuatkan kisah ringkas peribadi Hassan, yakni pendidikan awalnya di Sekolah Melayu, kisah ringkas tentang keluarganya, dan kisah Hassan mendapat pendidikan agamanya di Sekolah Pengajian Pondok.
  • Pengajian Hassan terhenti apabila kedatangan Jepun.
Zaman pendudukan Jepun.
  • Dalam tempoh ini, diceritakan penderitaan rakyat kerana menjadi buruh paksa Jepun dan kesengsaraan rakyat kerana sukarnya mendapat keperluan makanan.
  • Pada saat-saat akhir pendudukan Jepun, di kisahkan kemunculan pelbagai kumpulan penentang pemerintahan Jepun, termasuk Bintang Tiga yang menganut fahaman komunis.
Zaman Konfrontasi dan persaraan Hassan.
  • Dikisahkan dalam tempoh ini khidmat Hassan sebagai Kapten dalam Rejimen Askar Wataniah telah diterima semula berkhidmat dalam angkatan tentera.
  • Dikisahkan juga peranan Kapten Hassan secara ringkas semasa konfrontasi dengan Indonesia, disamping persaraan Kapten Hassan daripada angkatan tentera.
  • Dikisahkan apabila bersara, Hassan mengusahakan perniagaan gerai makanan dan perniagaan pengangkutan , disamping ikut terlibat dalam politik hingga beliau meninggal dunia.
LATAR MASYARAKAT

Latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini pada umumnya terbahagi kepada yang berikut :

Orang-orang kampung.
  • Yakni kebanyakannya orang Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya pada peringkat awal dalam novel ini.
  • Orang-orang kampung ini kebanyakannya bertani dan hidup dalam keadaan serba sukar, baik semasa Jepun mahupun semasa Bintang Tiga bermaharajalela.
  • Sikap positif dan sabar orang-orang kampung terhadap kekejaman Bintang Tiga berubah dengan penahanan dan penangkapan Penghulu Ismail.
  • Mereka berpegang teguh dengan ajaran agama juga.
Anggota pasukan keselamatan.
  • Yakni pasukan tentera yang berkhidmat di bawah panji Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Askar Wataniah, disamping Pasukan Polis Hutan.
  • Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada bangsa Melayu yang menjawat pelbagai pangkat tinggi dan rendah, kecuali pada zaman Inggeris yang kebanyakannya pegawai tingginya terdiri daripada bangsa Inggeris.
  • Kesemua anggota pasukan keselamatan ini berjuang dengan penuh semangat dan berdedikasi demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya daripada ancaman dalam negeri, yakni pengganas komunis dan ancaman negara, misalnya sewaktu zaman konfrontasi.
Kumpulan pengganas komunis.
  • Yang sebahagian besarnya berbangsa Cina tetapi turut disertai bangsa Melayu.
  • Mereka pada asalnya mengangkat senjata untuk menentang pendudukan Jepun telah turut menentang Inggeris dan kerajaan yang dipilih rakyat.
  • Mereka bersikap kejam dengan sewenang-wenangnya terhadap rakyat dan senantiasa menggugat keamanan negara.
  • Namun demikian, perjuangan sia-sia mereka dari dalam hutan berakhir juga dengan persetujuan mereka untuk meletakkan senjata.
GAYA BAHASA

BAHASA JEPUN

  • Kabotai, aiho dan oabang
BAHASA INGGERIS
  • Force 136, Home Guard, stengun, retraining, Quarter Master, Browning dan Military Medal
BAHASA ARAB
  • Roh, Allahyarham, rahmat, arwah dan Magribi
SIMPULAN BAHASA
  • Kawasan putih, iri hati dan air muka
PERSONIFIKASI
  • Bayang maut datang menerjah dari segenap penjuru
SIMILE
  • Ibarat gugurnya kuntum-kuntum melati yang mengharumkan nama nusa dan bangsa.
  • Pucat bagaikan maut
METAFORA
  • Debu derita
  • Hujan tembakan
NILAI

KASIH SAYANG

  • Hassan telah kematian ibu dan kurang mendapat kasih sayang daripada bapanya kerana kesusahan hidup.
  • Hassan dipelihara oleh datuknya, Penghulu Ismail.
BERDISPLIN DAN PATUH ARAHAN KETUA
  • Semasa dalam tentera Hassan patuh kepada disiplin tentera.
  • Dia mematuhi arahan ketua untuk bertugas mencari bangkai kapal yang terhempas walaupun ketika itu sepatutnya bersedia untuk menghadapi ujian kenaikan pangkat.
KERAJINAN DAN BERJIMAT CERMAT
  • Hajah Siti Amai hidup senang pada zaman Jepun kerana pandai berjimat cermat dang mengusahakan kebun serta menternak lembu.
  • Penghulu Ismail pula berniaga beras pada zaman Jepun.
BERTANGGUNGJAWAB
  • Hassan bertanggungjawab melaporkan kegiatan maksiat kepada pegawai kanannya.
  • Dia bertanggungjawab untuk membaiki keadaan tersebut.
PENGAJARAN

Kita hendaklah bijak merancang kehidupan
  • Penghulu Ismail mengahwinkan Hassan untuk mengelakkan tindakan Jepun menghantarnya ke Thailand.
Kita hendaklah rajin berusaha dan berjimat cermat
  • Hajah Siti Amai dianggap kaya kerana rajin mengusahakan tanah dan menternak, disamping menyimpan wang pound.
Kita haruslah mematuhi perintah agama
  • Hassan berpegang kepada agama dan tidak dipengaruhi maksiat apabila digoda oleh Ah Moi.
Kita hendaklah bersatu padu menentang musuh
  • Orang kampung tidak berani membela Hajah Siti Amai yang dibunuh komunis kerana mereka tidak bersatu.
Kita haruslah mengenang jasa dan keberanian perajurit
  • Hassan mendapat pingat daripada Ratu Inggeris kerana keberaniannya menjalankan operasi menggempur komunis.

2 comments: